ImageChef.com

Friday 15 April 2011

Peminat Akim, Tomok histeria



POPULARITI dua penyanyi muda tanah air, Tomok dan Akim sememangnya tidak dapat disangkal lagi apabila setiap kali muncul di pentas hiburan, penampilan mereka mendapat sambutan hangat daripada peminat.
Walaupun dikenali menerusi dua program realiti televisyen berbeza, namun populariti mereka tetap unggul di mata peminat sehinggakan kedua-duanya dipilih sebagai duta Maxis mempromosikan produk terbaru syarikat telekomunikasi itu, Hotlink Muzik khusus untuk pengguna di Pahang, Terengganu dan Kelantan. 
Sebagai penghargaan kepada peminat, kedua-dua penyanyi popular itu berkongsi pentas di sebuah hotel di Kuala Terengganu, Terengganu baru-baru ini menerusi konsert khas yang dibawakan Maxis kepada pelanggan mereka.

Memulakan persembahan, Akim atau nama sebenarnya Afiq Hakim Ahmad tampil bertenaga menyampaikan empat lagu popularnya iaitu Inikah Cinta, Bingung, Janji dan Cahaya.

Saat bintang kelahiran Akademi Fantasia 7 itu muncul di pentas, penonton terutama remaja perempuan bagaikan histeria menjerit namanya, malah turut sama menyanyi lagu didendangkannya.

Lebih bermakna Akim yang berasal dari Johor Bahru, Johor pandai mengemudi mood penonton sambil sesekali berinteraksi dengan peminat membuatkan suasana semakin rancak.

Meneruskan kehangatan, Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail mengambil alih pentas persembahan menyanyikan empat lagu popularnya iaitu Bagai Bidadari, Aktifkanku, Merentas Masa dan Pukau.

Kehadiran Tomok yang berasal dari Kuala Lumpur itu sememangnya dinantikan peminat kerana majoriti�nya amat teruja dan turut menghafal lagu dinyanyikannya.

Malah vokalis Newboyz itu juga pandai membuai suasana dengan telatah spontannya berinteraksi dengan peminat dan mengajak mereka untuk sama-sama menyanyi dan menari.

Merancakkan lagi suasana, Tomok dan Akim kemudian bergabung suara menyampaikan dua lagu yang dimuatkan secara khusus dalam pek khas Maxis untuk pengguna pantai timur iaitu Ceria dan Impian, sekali gus mengundang sorakan gemuruh penonton.

Walaupun terasa seperti sekejap, namun melihatkan reaksi peminat, mereka bagaikan terpesona dan berpuas hati dengan persembahan bertenaga Tomok dan Akim selain berpeluang menjayakan pelbagai permainan dan mendapat hadiah menarik disediakan penganjur.

Terdahulu konsert istimewa itu turut mengundang kumpulan Khalifah sebagai artis pembuka pentas yang mendendangkan enam lagu popularnya iaitu Kasihnya Laila, Khalifah, Cintaku Dewi Kamala, Sahiba, Cikgu Ayu dan Lagu Untuk Adinda.

Sementara itu, Ketua Wilayah Pantai Timur Maxis, Mazlan Mokhtar, berkata pelan khas yang mempamerkan penyanyi remaja terkenal, Tomok dan Akim sebagai duta yang dijual dengan harga RM8.80 seunit itu memberikan pelbagai keistimewaan kepada pelanggannya.

Menurutnya, selain mengandungi enam kad tambah nilai RM8 dengan kemudahan 50 minit masa panggilan dan 100 khidmat pesanan ringkas (SMS), pelanggan juga berpeluang menyaksikan konsert dua penyanyi itu di Terengganu, Pahang dan Kelantan.

“Pelan istimewa untuk pelanggan pantai timur ini selaras dengan sasaran kita mendekati dan menghargai pelanggan yang sebahagian besarnya golongan muda. Maxis melihat potensi dan peluang pasaran yang sangat meluas di Pantai Timur.

“Daripada segi profil populasi, kita mempunyai jumlah pelanggan yang besar di pantai timur dan dalam masa sama mereka inginkan hiburan. Jadi kita tawarkan pek khas ini yang mempunyai jaringan hiburan untuk mereka,” katanya.

Beliau berkata, pelanggan pantai timur yang mendapatkan pek istimewa Hotlink Muzik itu akan turut mendapat cakera padat (CD) khas mengandungi empat lagu dinyanyikan Akim dan Tomok selain berpeluang menyaksikan konsert artis pujaan mereka.

Katanya, pek sim berkenaan mengandungi satu keping Hot Ticket bernilai RM8 dan lima lagi Hot Ticket bernilai sama akan dikreditkan ke akaun pelanggan pada hari ke -21 setiap bulan selama lima bulan, bermula bulan kedua selepas pengaktifan.

Bagi peminat di Kelantan pula, Tomok dan Akim akan singgah di Negeri Cik Siti Wan Kembang itu esok, jam 2 petang di Hotel Renaissance, Kota Bharu. Ia juga lokasi terakhir kempen ini dan turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran Black dan Shidi.

Lebih istimewa, kali ini, Hotlink membawa anak yatim untuk sama-sama menyaksikan persembahan mereka. Tidak cukup dengan itu, satu sesi bertemu peminat diadakan jam 12 tengah hari.

No comments:

Post a Comment